11 FAKTA BERKENAAN PROTON SAGA 2019

Ya Proton Saga baru versi naik taraf untuk tahun 2019 telah dilancarkan. Secara keseluruhan model ini menerima beberapa perubahan yang diterapkan oleh Proton bagi meremajakan kembali kereta popular untuk rakyat kebanyakan seperti penulis sendiri. Jadi mari kita lihat apa perubahan yang dibawa oleh Proton untuk model popular ini.

1. Saiz dan Dimensi-kereta ini secara keseluruhan tidak banyak berubah. Jarak antara roda masih dikekalkan pada 2465mm dan ruang penumpang depan dan belakang kekal selesa untuk perjalanan dekat ataupun jauh. Ruang kargo membekalkan 420 liter ruang, cukup untuk sebuah keluarga kecilcmengisi barang ketika pulang ke kampung

2. Rekabentuk – kereta ini masih dikekalkan identiti asal iaitu sebuah sedan kompak 3 kotak (enjin, ruang penumpang dan kargo) namun ia diberi sentuhan agar memiliki identiti Geely-Volvo. Sudah tentu bahagian jeriji hadapan akan menampilkan rekaan korporat baru Proton iaitu Anyaman Infiniti (Infinite Weave) dan juga busur (Ethereal Bow) sama seperti yang dimiliki oleh Persona dan juga SUV popular X70.

3. Rekaan hadapan – ini dikemaskan lagi dengan kehadiran kemasan krom yang merentangi bahagian upper air intake yang menyambungkan lampu kiri dan kanan. Manakala lower air intake mengenakan kemasan grill yang lebar dan tampak sedikit garang. Bagi menyerikan sedikit perwatakan Saga, sepasang lampu DRL dengan teknologi LED hadir pada bahagian kiri dan kanan lower air intake menyerlahkan imej seragam Saga dengan Persona. Lampu utama mengekalkan rekaannya dengan teknologi halogen.

4. Rekaan belakang – turut mengalami pembaharuan dengan membawa imej korporat baru seperti Persona terutama pada bahagian bawah bampar. Kemasan krom diperkenalkan pada bahagian bawah bampar memberikan imej yang sedikit serius dan premium berbanding dengan model lama. Logo Harimau digantikan dengan perkataan PROTON yang diapit dengan lampu belakang ( sama macam VOLVO).

Lampu kabus belakang pada bahagian tengah bampar dialihkan kedudukan ke lampu belakang bahagian kanan. Bahagian penutup kargo disudahkan dengan boot lid yang berwarna sama dengan warna kereta memberikan Saga lebih gaya. Secara keseluruhan bahagian belakang nampak lebih kemas dan kurang berserabut.

5. Rekaan rim baru – turut diberikan pada pada Saga versi 2019 ini. Sudah tentu model premium akan datang dengan rim bersaiz 15 dengan rekaan 5 bintang. Bagi rim 15 ia akan datang rekaan 2 tona dan mengguna tayar bersaiz 185/55 dengan rim 15 inci. Bagi varian standard pula ia menggunakan rim bersaiz 14 inci dan tayar bersaiz 185/65. Secara keseluruhan rekaan rim varian premium nampak lebih sporti manakala rim untuk saiz 14 tampil dengan satu tona sehaja.

6. Enjin VVT – dengan sesaran 1332cc dikekalkan untuk menjana kuasa bagi model ini. Dengan bantuan teknologi DOHC dan juga Variable Valve Timing (Pemasaan Injap Boleh Ubah) ia menghantar 94 kuasa kuda pada 5750 RPM dan juga 120 Nm tork pada 4000 RPM. Jangan risau Genting Highland atau Cameron Highland, Bukit Bendera Pulau Pinang pun Saga ini boleh panjat naik. Jimat duit tiket kereta kabel. Bagi membantu pemanduan berhemah, lampu ECO turut dipasang pada bahagian paparen meter

7. Transmisi baru – empat kelajuan automatik digunakan untuk menggantikan transmisi CVT. Transmisi ini akan digandingkan dengan Torque Converter (Penukar Daya Kilas) berbanding unit klac pada model lama. Unit transmisi 4 kelajuan ini akan dibekalkan oleh Hyundai Power Tech yang turut membekalkan transmisi kepada Geely, Kia dan juga Hyundai. Jadi ucapkanlah selamat tinggal selama-lamanya pada masalah senggukan dan isteri atau pasangan anda boleh memakai gincu dengan tenang di dalam kereta. Malah ia turut menawarkan Sport Mode pada pilihan gear.

8. Unit infohiburan –  bagi model premium datang dengan skrin rekaan terapung manakala bagi varian standard ia datang dengan unit audio biasa. Sudah tentu rekaan sistem bagi model premium kelihatan lebih mewah dan lengkap dengan fungsi Mirrorlink dan juga kamera pandang belakang. Terdapat 3 slot USB yang boleh digunakan untuk menyambungkan data untuk memainkan lagu dan juga mengecas telefon pintar. Sudah cukupkan atau anda perlukan  fitur periuk nasi elektrik dipasang sekali?

Namun buat masa ini kami megesahkan tiada fungsi “Hi Proton” untuk model Saga.

9. Sistem keselamatan brek anti terkunci ABS dan sistem agihan brek EBD ditawarkan secara standard bagi semua varian. Istimewa untuk varian Premium, ia akan hadir dengan teknologi Sistem Kawalan Kestabilan Elektronik ESC, Kawalan Cengkaman TC dan juga fungsi Bantuan Mula Mendaki HA. Kesemua varian datang dengan brek cakera sejukan udara untuk tayar depan dan brek drum untuk tayar belakang.

10. Terdapat beberapa ciri lain yang turut diberi perhatian oleh Proton seperti rekaan tombol gear baru, rekaan paparan meter baru sama seperti Persona, lampu ruang penumpang mirip rekaan X70, sensor parkir belakang, sensor parkir depan untuk varian premium , sistem kawalan audio pada roda stering untuk varian premium, penutup ruang kargo yang boleh dibuka dengan menggunakan suis kawalan jauh dan juga penghidup enjin tanpa kunci

11. Terdapat 5 pilihan warna yang disediakan iaitu Jet Grey, Snow White, Ruby Red, Armour Silver, dan Rosewood Marron. Jika anda perlukan warna pink atau merah jambu, sila spray sendiri ya. Penulis pula berpendapat warna kuning patut diperkenalkan juga dengan nama Yellow Musang King.

Jadi apa pandangan pembaca berkenaan Proton Saga 2019 ini? Sila berikan pendapat dan padangan anda di ruangan komen.

 

Related Posts

About The Author

Add Comment

%d bloggers like this: