BOLEH KE KITA PASANG DAN GUNA ENJIN F1 UNTUK KERETA BIASA?

Saya akui perlumbaan F1 sekarang masuk kepada fasa yang agak membosankan. Tiada lagi jeritan dan ngauman enjin V12, V10, dan V8 dari jentera perlumbaan F1. Enjin yang besar mula digantikan dengan enjin yang lebih kecil dengan bantuan kuasa turbo bagi membolehkan ia menghasilkan kuasa yang sama dengan enjin bersaiz besar. Malah ia juga dipadankan dengan bantuan motor elektrik yang mendapat kuasa semasa sedang dibrek. Walaupun lebih berkuasa dan lebih laju, namun masih ada pepatah “nothing can replace cubic capacity”. Hakikatnya enjin F1 menjadi semakin canggih menjadi tanda aras pencapaian kejuruteraan dalam pelbagai bidang untuk kegunaan automotif

Disiplin ilmu kejuruteraan mekanikal, aerodinamik, trenkuasa, tayar sememangnya menjadikan F1 sebagai medan untuk menguji kemampuan inovasi pengeluar dan pasukan perlumbaan. Teknologi ini kemudiannya akan digunakan semula bagi kegunaan kereta biasa. Kalau ia sememangnya bagus untuk perlumbaab getir F1, kenapa ia tidak cukup bagus untuk kegunaan kereta biasa kan? Jadi bolehkah kita mengambil seketul enjin F1 untuk dipasang pada kereta Myvi atau BMW kesayangan kita? Boleh ke tidak?

Saya bercakap berkenaan mengambil keseluruhan enjin, sistem trenkuasa, sistem penyejukan dan juga pelbagai sokongan untuk dipasang pada kereta persendirian. Memang hebat kalau kita boleh buat. Jadi mari kita lihat beberapa aspek yang kita jarang lihat berkenaan enjin F1 ini

Ia susah untuk dihidupkan

Enjin F1 sebenarnya dibina dengan tolerens dan kejituan pengukuran yang sangat tinggi. Jarak antara komponen mekanikal yang bergerak adalah sangat kecil yang boleh diukur dengan mikrometer. Ia akan menjadikan enjin F1 sangat efisyen dalam proses penghasilan kuasa. Enjin perlu berada dalam julat suhu yang optimum iaitu sekitar 80 darjah celsius bagi memastikan proses menghidupkan enjin berjalan dalam keadaan lancar. Jika anda perlu memandu pada hari esok, pastikan anda bersedia awal pagi untuk membuat persedian menghidupkan enjin. Malah enjin perlu dihidupkan dengan menggunakan motor elektrik khas yang besar untuk menghidupkan enjin F1 kerana motor penghidupnya besar dan menjadikan cesi F1 berat.

Penyejukan

Bagi kereta biasa yang enjinya dipasang di hadapan cesi, proses sejukan berlaku apabila kipas menyedut udara sejuk pada sirip penyejuk radiator dan membebaskan haba dari enjin ke ruang persekitaran. Jumlah haba yang dibebaskan oleh enjin berkait rapat dengan jumlah tork yang dihasilkan oleh enjin pada RPM tertentu. Sudah tentu enjin F1 akan beroperasi pada RPM yang sangat tinggi sekitar 10,000 -15,000 RPM akan menghasilkan jumlah haba yang sangat besar. Kalau anda tebuk lubang bampar pun belum tentu ejin F1 ini akan sejuk.

Jadi jika anda bercadang untuk meneruskan projek ini, pastikan anda memindahkan sekali sistem penyejukan enjin F1 yang mengandungi 2 sirip penyejuk radiator yang besar dipasang pada ruang sisi cesi F1. Pandai-pandai lah ya kata mana tuan-puan nak pasang radiator tersebut samaada di atas bumbung, atau tepi atau di belakang kereta. Silap haribulan kereta anda nampak buruk. Mungkin juga anda boleh pasang radiator tersebut disisi cesi kereta anda.

Sebelum saya terlupa, radiator asal enjin F1 tidak mempunyai kipas penyejuk. Jadi jika anda terperangkap di lampu trafik maka enjin F1 anda akan menjadi terlampau panas. Maka terpaksalah anda memasang kipas gergasi untuk menghantar udara sejuk pada enjin anda sebelum kereta anda menjadi sauna bergerak. Banyak haba yang dihasilkan dari enjin yang menghasilkan 800 kuasa kuda.

Harga Enjin Yahudi Mabuk Ketum

Disebabkan enjin F1 ini sendiri merupakan manifestasi pencapaian kejuruteraan, maka harga enjin F1 amatlah mahal. Sebuah enjin F1 yang digunakan untuk perlumbaan F1 sekarang berharga 6.3 juta pound. Pandai-pandailah tuan tukar sendiri pada Ringgit Malaysia ye. Kalau tukar pada rupiah, mungkin anda boleh beli sebuah pulau. Bahan yang digunakan untuk menghasilkan komponen enjin ini amat mahal termasuklah alat ganti.

Bagi membolehkan enjin ini beroperasi pada RPM yang tinggi, anda perlukan sistem valvetrain yang menggunakan teknologi pneumatik, bukan lagi spring biasa. Camshaft masih lagi digunakan namun untuk menutup semula injap selepas ia dibuka, proses ini memerlukan sistem penutupan yang menggunakan gas nitrogen tekanan tinggi.

Tork

Walaupun menghasilkan sejumlah besar kuasa kuda, namun enjin ini menghasilkan kuasa tersebut pada RPM yang tinggi. Tork yang dihasilkan pula tidaklah kuat sangat memandangkan berat keseluruhan cesi, sistem dan juga pemandu hanyalah sekitar 700kg sahaja, maka ia tidak perlukan tork yang besar untuk memecut. Jika kita lihat rekaan enjin ini sendiri, ia memiliki diameter yang besar dengan lejang yang pendek. Rekaan ini diklasifikasikan sebagai enjin “over square” yang bagus untuk perlumbaan tapi tidak menghasilkan tork yang tinggi. Anda perlu REV enjin ini untuk dapatkan tork. Bayangkan kalau anda REV enjin ini 8000RPM hanya untuk bergerak sekitar taman perumahan. Mesti jiran anda suka kan dengan bunyi enjin anda

Tambahan pula jika berat kereta anda sekitar 1200-1500kg, enjin F1 ini perlu bekerja keras untuk menghasilkan tork bagi menggerakkan cesi. Disebabkan itu enjin F1 sekarang banyak menggunakan turbo dan motor elektrik untuk mengatasi masalah ini.

Jangka Hayat

Bermula dari musim perlumbaan tahun 2018, semua pasukan perlu memastikan hanya 3 enjin F1 yang boleh digunakan sepanjang musim perlumbaan. Berbanding dengan enjin musim sebelumnya, setiap enjin hanya boleh bertahan hanya 1 perlumbaan sahaja. Jadi enjin ini mesti mempunyai ketahanan yang sangat tinggi. Enjin F1 sebenarnya terdedah pada operasi, suhu dan tekanan yang sangat tinggi berbanding dengan enjin biasa. Terdapat 2 faktor yang menjahanamkan enjin F1 iaitu haba yang sangat tinggi yang terhasil daripada pembakaran dan juga halaju “recoprocating” piston.

Enjin F1 dengan susunan V10 yang pernah digunakan boleh bergerak 300 kali dalam masa sesaat. Dengan mengambil kira berat piston itu sendiri, maka piston boleh mengalami daya G-Force sebanyak 10,600G. (1G=bersamaan 9.81 m/s2). Manakala tekanan dalam silinder meningkat menjadi 1500PSi semasa operasi enjin. Jadi tidak hairanlah enjin F1 mempunyai jangka hayat yang pendek walaupun telah dibina daripada bahan yang sangat bermutu tinggi.

Katakanlah anda masih berminat untuk memasang enjin F1 ke dalam kereta anda, maka pastikan anda mempunyai bengkel, pasukan jurutera, juruteknik, mesin dan duit berkoyan-koyan bagi memastikan enjin ini berfungsi dengan sempurna. Kereta anda akan kerap masuk ke bengkel hanya untuk proses baik pulih demi memastikan enjin ini boleh beroperasi seperti biasa. Banyak masa dan juga duit akan dihabiskan untuk hobi ini. Jika anda masih percaya cerita dongeng minyak masak boleh digunakan untuk enjin, maka hentikanlah angan-angan anda itu.

AMG Project One

Ini adalah kali pertama percubaan AMG untuk menggunakan enjin F1 di dalam sebuah kereta hyper milik mereka. Apa yang AMG buat ialah, gunakan enjin F1 yang digunakan oleh Lewis Hamilton, dan reka sebuah cesi di sekeliling enjin. AMG telah mengatasi cabaran kejuruteraan bagaimana untuk membina kereta ini. Artikel akan datang akan memperincikan spesifikasi dan juga penyelesaian kejuruteraan yang dibuat oleh AMG.

Related Posts

About The Author

Add Comment

%d bloggers like this: