PERPINDAHAN TEKNOLOGI DARI LE MANS KE JALANAN

Walaupun nampak seperti biasa dengan rekaan berkotak-kotak, namun kereta penumpang atau kereta yang digunakan oleh pengguna biasa seperti kita banyak menerima tempias teknologi hasil daripada perlumbaan seperti perlumbaan Le Man. Kita bukan bercakap mengenai bentuk kereta yang melarus atau GT Wing yang sebesar rak kasut, tapi beberapa teknologi yang menjadikan kereta kita pada hari ini menjadi semakin selamat dan selesa untuk dipandu oleh pengguna biasa. Namun kita sebenarnya lupa walaupun ciri-ciri ini nampak biasa pada kereta kita, ia sebenarnya dilahirkan di litar lumba untuk mengharungi perlumbaan Le Mans yang mencabar.

Dengan usia perlumbaan yang hampir mencecah sedekad, Le Mans merupakan medan ujian yang tepat untuk pengeluar menguji peralatan dan juga teknologi baru yang diperkenalkan sebelum ia dipasarkan untuk pasaran biasa. Dalam menjadikan perlumbaan Le Mans semakin laju dan selamat beberapa perubahan dan teknologi baru diperkenalkan. Jika teknologi tersebut dapat bertahan dalam perlumbaan, maka ia cukup bagus untuk kegunaan biasa.

Jadi kami perkenalkan pada anda semua beberapa teknologi yang berasal dari perlumbaan Le Mans yang akhirnya digunakan pada kereta penumpang.

Kereta Pacuan Hadapan.

Juga dikenali dengan singkatan FF merujuk kepada cara enjin dipasang dan tayar yang digunakan untuk memacu kereta ke hadapan. Bagi FF ia menunjukkan bahawa enjin dipasang pada depan cesi dan tayar depan digunakan untuk menggerakkan kereta. Ketika perlumbaan ini masih baru, kesemua pasukan pelumba masih menggunakan konsep FR iaitu enjin dipasang di bahagian depan dan tayar belakang digunakan untuk menggerakkan kereta.

Idea ini diperkenalkan oleh pelumba dan juga jurutera iaitu John Albert Gregoire dan rekaanya berjaya memenangi tempat ketujuh perlumbaan. Pada masa tersebut perlumbaan bukanlah dilakukan di atas jalan berturap tapi di atas jalan tidak berturap. Penggunaan konfigurasi FF membolehkan berat enjin memberikan cengkaman pada tayar depan yang bertindak untuk menggerakkan kereta dan juga pengendalian.

FF memberikan kelebihan jika perlumbaan diadakan pada hari hujan, jalan bersalji, atau jalan basah dimana cengkaman pada permukaan jalan adalah sangat penting. Cengkaman yang diberikan memberikan kelebihan pada kereta FF berbanding dengan kereta FR. Namun pada masa yang sama ia menjadikan bebanan tugas yang diterima oleh tayar depan bertambah kerana ia digunakan untuk memecut, mengambil selekoh dan juga 80% tugas membrek dibuat oleh tayar depan. Ia akan menyebabkan tayar depan cepat haus dalam perlumbaan berbanding dengan konfigurasi FR

Teknologi Brek Cakera

Sekitar tahun 1950, kemajuan yang dicapai dalam menghasilkan enjin menjadikan enjin kereta lumba menjadi semakin berkuasa seterusnya menjadikan kereta lumba semakin pantas. Namun semakin laju sesuatu kereta bergerak semakin sukar ia membrek. Teknologi brek ketika itu yang menggunakan kasut brek dan juga drum tidak mampu bertahan akibat haba dan suhu yang tinggi akan merosakkan komponen brek. Ramai pelumba terpaksa bersara awal akibat kegagalan sistem brek.

Pada tahun 1953, Jaguar C Type telah memasuki litar perlumbaan dengan menggunakan brek cakera besi yang dibuat daripada besi tuang. Berbanding dengan rekaan brek drum yang tertutup, brek cakera direka dengan terbuka agar haba yang terhasil daripada proses geseran dapat dinyah keluar dengan cepat ke persekitaran. Sebenarnya teknologi ini sudah lama wujud namun ia tidak digunakan secara meluas.

Ketika membrek pada laluan lurus Mulsane, Jaguar Type C boleh membrek lewat dan jarak membrek juga adalah kurang separuh berbanding dengan pesaingnya yang lain. Ini membenarkan Jaguar mengekalkan momentum kelajuan kereta di dalam perlumbaan. Disebabkan kebolehan sistem brek ini menyejuk dengan cepat, ia tahan lasak dan tidak mengalami fenomena brake fade. Hasilnya Jaguar mendominasi pada kedudukan 1-2 pada tahun 1953 dan 3 lagi kemenangan utuk tahun 1950an.

Tali Pinggang Keselamatan

Walaupun telah lama diperkenalkan, namun tali pinggang keselamatan amat jarang digunakan semasa perlumbaan Le Mans disebabkan cara perlumbaan Le Man bermula. Pelumba perlu berlari merentasi litar ke arah kereta, menghidupkan enjin dan terus memandu. Mana sempat nak pakai tali pinggang keselamatan. Malah pelumba ketika itu menganggap lebih selamat untuk tidak memakainya kerana mereka boleh melompat keluar atau keluar dengan cepat jika kereta terbakar selepas kemalangan terjadi.

Bagi membantah cara perlumbaan yang kuno ini, pada tahun 1969 Jacky Ickx dengan selamba badak berjalan ke arah keretanya dengan tenang, mengambil sedikit masa untuk memakai topi keledar dan juga memasang tali pinggang sebelum memulakan perlumbaan dengan Ford GT. Lawan beliau John Woolf yang memandu Porsche 917 memulakan perlumbaan tanpa memakai tali pinggang memulakan perlumbaan jauh lebih awal. Namun amat tragis bagi John apabila dia terlibat dengan kemalangan pada pusingan pertama yang membunuhnya serta merta. Jacky yang memulakan perlumbaan pada tempat terakhir memenangi perlumbaan.

Disebabkan peristiwa ini serta dimalukan oleh Jacky, penganjur menukar format perlumbaan pada tahun 1970 dengan mewajibkan pelumba memulakan perlumbaan di dalam kereta. Pelumba wajib memasang semua peralatan keselamatan yang disediakan sebelum memulakan perlumbaan

Teknologi Lampu Hadapan

Bagi memenangi perlumbaan Le Mans, pelumba dan jentera mereka harus mengharungi perlumbaan pada waktu malam dan juga awal pagi dimana perlumbaan dilakukan dalam keadaan gelap. Di negara yang mengalami cuaca sejuk, apabila waktu malam tar jalan akan membebaskan haba yang diserap pada waktu siang yang akan menyebabkan wap air akan terapung pada paras lutut. Wap air ini atau kabus akan mengganggu tumpuan pelumba serta menyebabkan jarak penglihatan menjadi terhad.

Pada tahun 1926, pasukan Lorraine-Dietrich memasang lampu ketiga pada kereta mereka yang diberi nama Cyclops. Kehadiran lampu ketiga membolehkan mereka merangkul kedudukan 1, 2 dan 3 pada tahun tersebut dan teknologi lampu kabus mulai popular. Pada tahun 1962 Schuderia Ferrari memenangi perlumbaan dengan memasang lampu teknologi halogen pada kereta mereka. Versi awal teknolohi halogen ini menggunakan wasap iodin di dalam mentol yang memiliki 2 kali ganda keamatan cahaya.

Namun teknologi pencahayaan untuk automotif direvolusikan oleh Audi apabila memperkenalkan teknologi LED dan juga Laser ketika perlumbaan Le Mans. Semua teknolohi ini apabila diakui cukup lasak maka ia kan digunakan pada barisan kereta Audi

 

Teknologi Hibrid

Walaupun teknologi ini sinonim dengan Toyota, bongkah ais kutub utara dan juga isu pemanasan global namun ia tetap digunakan semasa perlumbaan. Objektif utama jurutera ialah jadikan jentera sangat efisyen dan kurangkan masa untuk mengisi bahan api. Tenaga kinetik yang dibazirkan sebagai tenaga  haba pada sistem brek ditukar menjadi tenaga elektrik pada sistem bateri. Ia boleh digunakan semula semasa memecut keluar dari selekoh.

Pada tahun 1998 terdapat sebuah kereta yang digelar Sparky menggunakan gabungan enjin dan juga motor elektrik sebagai kuasa dorongan. Ia direka oleh kumpulan Panoz Auto Development dengan idea utama ialah menjadikan kereta ini lebih efisyen, kurang memasuki pit untuk mengisi petrol dan lebih banyak menghabiskan masa di litar. Namun rekaannya yang rumit serta teknologi bateri pada waktu itu tidak bagus seperti sekarang menyekat kebolehan kereta ini.

Namun teknologi ini merintis pada pembinaan kereta lain seperti Honda CRZ, BMW i8, Honda NSX, Ferarri SF90 dan juga Porsche 918 Spyder. Samaada kita suka atau tidak teknologi hibrid akan menjadi jambatan yang akan merapatkan jurang antara kemampuan teknologi kereta elektrik dan juga enjin pembakaran dalaman.

Walaupun aktiviti perlumbaan dilihat sebagai sekadar aktiviti untuk mereka yang dahagakan kejutan adrenalin dan kejutan namun bagi memenuhi aspirasi kemajuan, keselamatan dan kecekapan enjin pelbagai teknologi sampingan dicipta. Paling bagus bila teknologi ini mula merintis pada kenderaan biasa untuk pasaran umum.

 

 

 

Related Posts

About The Author

Add Comment

%d bloggers like this: